Monday, February 21, 2011

MESYUARAT CUEPACS BAHAGIAN TERENGGANU

TARIKH:     13 Februari 2011

MASA:          3.00 PETANG

TEMPAT:      BILIK MESYUARAT MBKT TINGKAT 1

CUEPACS MAHU SISTEM LEBIH BAIK GANTI PTK

KUALA TERENGGANU 15 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memastikan sistem penilaian baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) nanti dilaksanakan dengan lebih mudah dan bersekali dengan sistem gaji.

Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Azih Muda berkata, ia bagi mengelakkan sistem baru yang dijangka diumumkan oleh kerajaan nanti menjadi kekangan kepada anggota sektor awam dalam meneruskan kerjaya mereka.

Katanya, CUEPACS turut mencadangkan agar kerajaan menyemak semula gaji jawatankuasa Kabinet yang terbukti lebih berkesan dalam sektor awam serta tidak menimbulkan banyak rungutan.

Menurutnya, sistem baru itu perlulah lebih fokus kepada tugas yang dilakukan oleh penjawat awam dan juga mengambil kira kekananan dan tidak semata-mata menggunakan kaedah merit untuk kenaikan pangkat.

"Sebab itu CUEPACS turut mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem gaji matrik yang ada sekarang diganti dengan sistem gaji selapis yang mampu memenuhi tempoh perkhidmatan seseorang sebelum bersara pada umur 58 tahun.

"Antara satu mata gaji yang sesuai nanti mungkin boleh diadakan sekatan kecekapan yang memerlukan seseorang penjawat awam berusaha meningkatkan kecekapan dan kemahiran mereka untuk tujuan anjakan ke mata gaji lebih tinggi," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi CUEPACS Bahagian Terengganu berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ahli jawatan kuasa CUEPACS Bahagian Terengganu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat sini kelmarin.

Katanya, CUEPACS tidak mahu lagi melihat kegagalan agensi pelaksana PTK berulang apabila kerajaan melaksanakan sistem baru itu nanti dan untuk itu kerajaan perlu mengambil kira pandangan agensi dan kesatuan sekerja dalam merangka sistem tersebut.

Selain itu Azih berkata, CUEPACS turut menerima cadangan daripada kesatuan sekerja yang mewakili anggota di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) agar hanya satu skim perkhidmatan diwujudkan di PBT.

Katanya, pemantapan skim perkhidmatan boleh dilakukan oleh kerajaan dengan mengambil kira keperluan yang ada di PBT itu sendiri yang berjumlah hampir 200 PBT termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Apabila ada satu skim sahaja akan memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada anggota di PBT dan cadangan ini merupakan satu yang unik kerana belum ada cadangan seumpamanya dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini,'' jelasnya.

Sementara itu kerajaan juga diminta menyelesaikan kedudukan pengajar membalak gred G17 di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan menjadikannya gred lebih terbuka untuk bertugas di agensi lain.

Pada masa ini tambahnya hanya terdapat 10 orang pengajar membalak di negara ini iaitu yang bertugas di Pusat Latihan Membalak Terengganu yang terhad dan tidak berpeluang untuk meningkatkan kerjaya mereka.